Kerusi Lamag ‘Milik BERSATU’ Jika PN Bertanding, Kata Takiyuddin

Takiyuddin

KOTA BAHRU: Perikatan Nasional (PN) Sabah akan memutuskan sama ada parti itu akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin awal pagi semalam.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerusi berkenaan akan diserahkan kepada BERSATU sekiranya PN membuat keputusan untuk bertanding.

“Kita serah kepada PN Sabah buat keputusan sama ada nak letak calon atau sebaliknya. Sekiranya mahu bertanding, kerusi berkenaan adalah milik BERSATU.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, BERSATU yang bertanding di kerusi berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Masyarakat India di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Media semalam melaporkan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia pada jam 1.46 pagi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada usia 66 tahun.

Pada PRN lalu, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Lamag yang mempunyai 13,859 pemilih berdaftar pada PRN kali ini adalah antara tiga DUN dalam Parlimen Kinabatangan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *