
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 86 pendatang tanpa izin (PTI) dalam operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada 3 dan 5 Disember lalu.
Operasi berkenaan dijalankan hasil risikan hampir seminggu serta maklumat awam berhubung pergerakan warga asing mencurigakan, sebelum pasukan operasi digerakkan bagi pemeriksaan menyeluruh.
Menurut kenyataan JIM Sabah, seramai 36 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Tawau dan Depot Imigresen Tawau terbabit dalam operasi itu.
“Sebanyak 200 individu diperiksa dan 86 daripadanya yang majoritinya warga Filipina dan Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah atau pas yang masih berkuat kuasa.
“Mereka turut disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
JIM Sabah berkata semua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Agensi itu menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PTI.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu keselamatan. JIM Sabah turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu mengekang kemasukan warga asing tanpa izin ke negeri ini,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah