
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sekali lagi menyatakan kesediaan bekerjasama dan menyokong pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baharu di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata kerjasama itu dizahirkan demi memastikan Sabah terus berada dalam landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat negeri itu.
Katanya, BN menerima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka dan penuh hormat terhadap suara serta mandat mereka.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah bukti proses demokrasi yang matang.
“BN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada calon BN pada PRN Sabah ke-17.
“BN juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera parti dari seluruh pelosok negara yang bertungkus-lumus sejak hari pertama kempen sehingga saat terakhir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya, segala keringat, masa dan komitmen yang dicurahkan adalah lambang kesetiaan serta semangat perjuangan demi parti dan kepentingan rakyat.
Keputusan rasmi PRN Sabah ke-17 menyaksikan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia diikuti Parti Warisan (Warisan) 25 kerusi dan Barisan Nasional (BN) enam kerusi.
Calon Bebas mendapat lima kerusi, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) (dua), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (satu), Perikatan Nasional (PN) (satu), dan Pakatan Harapan (PH) (satu).
Pada PRN Sabah kali ini, seramai 1,148,476 orang atau 64.35 peratus pengundi keluar mengundi.
Sumber: Berita Harian
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah