PRN Sabah: PKR Beri Jaminan Terus Pejuang Kepentingan Sabah

Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi jaminan akan terus memperjuangkan kepentingan Sabah selaras dengan semangat Kerajaan MADANI yang berteraskan keadilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perjuangan menegakkan hak Sabah masih jauh dan memerlukan sokongan padu daripada rakyat negeri berkenaan bagi memastikan segala usaha yang dimulakan tidak terhenti separuh jalan.

“Saya tahu ini akan menjadi satu perjuangan yang sukar tetapi itulah sebabnya kita mesti terus mara.

“Hasil perbincangan bersama rakan-rakan seperjuangan, kami diberi amanah untuk bertanding di beberapa kerusi, bagi memastikan segala usaha memperjuangkan kepentingan Sabah dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran pada akaun Facebook, miliknya hari ini.

Nurul Izzah berkata, seperti amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya akan terus berusaha dengan penuh keazaman untuk bekerja dan mendengar suara rakyat di Sabah.

“Sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran pada tahun 2022, usaha untuk memperjuangkan pelaksanaan MA63 sudah pun dipertingkat, dipercepat dan digerakkan dengan lebih serius.

“Dalam tempoh 3 tahun, Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan utama, sesuatu yang gagal direalisasikan oleh pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Nurul Izzah berkata langkah-langkah yang sebelum ini tidak pernah diambil, kini sudah berjaya dilaksanakan.

“Namun, usaha berkenaan belum selesai, kita baru tiba ke pertengahan jalan. Jangan patahkan usaha ini. Jangan biarkan perjuangan ini terhenti separuh jalan.

“Jika Kerajaan MADANI tidak lagi diberi amanah untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan Sabah, segala usaha yang sudah dibina selama tiga tahun ini akan kembali ke titik permulaan,” katanya.

Nurul Izzah berkata kerajaan memerlukan sokongan yang lebih kuat daripada rakyat Sabah sendiri untuk memastikan perjuangan menegakkan hak Sabah benar-benar tertunai.

“Dahulu, ada parti yang lantang melaungkan slogan ‘Sabah Ubah’ sepanjang 26 bulan memerintah.

“Tapi sayangnya, rakyat tidak merasai sebarang perubahan. Rizab kewangan negeri menurun, ekonomi merosot hampir 10 peratus dan janji untuk menyelesaikan krisis air dalam tempoh setahun juga gagal ditunaikan,” katanya.

Nurul Izzah berkata semua itu hanyalah janji kosong dan retorik politik semata-mata.

“Kali ini, kita pastikan kemajuan benar-benar sampai kepada setiap lapisan rakyat, Insya-Allah.

“Kami percaya bahawa Sabah berhak menerima yang terbaik sebagai sebuah negeri yang bermaruah dan berdaulat. Dengan semangat itu, kami akan terus berusaha sedaya upaya, demi kemajuan Negeri di Bawah Bayu,” katanya.

Nurul Izzah berkata itu adalah komitmen PKR untuk Sabah iaitu komitmen yang dibuktikan melalui kerja dan kesungguhan, bukan sekadar kata-kata.

“Bak kata pepatah orang Kadazan, ‘Osusa Toi Asanang Tomoimo Miiso’yang membawa maksud ‘Susah atau senang, suka atau duka, kita tetap bersama’,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *