
KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Sazalye Donol mengambil keputusan untuk menyertai Parti Warisan (WARISAN) selepas menilai dengan mendalam hala tuju politik semasa khususnya isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.
Beliau turut menyifatkan kepimpinan Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai wadah yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat dan Sabah.
“WARISAN satu-satunya parti yang sama selera dengan saya bersama para sahabat dan saya nampak WARISAN bukan sekadar bercakap tapi melaksanakan, terutama dari segi pelaksanaan MA63,” katanya pada sidang media di sini.
Sazalye berkata, WARISAN membuktikan komitmen terhadap rakyat melalui tindakan nyata semasa mentadbir negeri dari 2018 hingga 2020, termasuk pemberian geran tanah kepada rakyat tempatan.
Menurutnya, jika WARISAN betul-betul pendatang tanpa izin (PTI) seperti tuduhan sesetengah pihak, tidak mungkin WARISAN memberikan tanah kepada rakyat Sabah sendiri semasa memerintah sebagai kerajaan negeri.
Beliau turut menjelaskan keputusannya meninggalkan PKR bukan disebabkan permusuhan tetapi kerana mahu bersama wadah yang lebih bersih, telus dan konsisten.
“Yang lama bukan tidak baik, tapi saya mahu bilik yang lebih bersih. WARISAN ini saya nampak betul-betul menjaga kesatuan rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Sazalye turut menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri yang dianggap keliru dengan keputusan mahkamah mengenai 40 peratus hasil negeri.
Sehubungan itu beliau menegaskan WARISAN sejak dahulu konsisten mempertahankan hak Sabah berdasarkan MA63.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah