BN Sedia ‘Bikin Balik Sabah’ – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) bertekad untuk mengembalikan semula kegemilangan Sabah menerusi gerakan ‘Bikin Balik Sabah’ dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ia berlandaskan pembangunan, perpaduan dan kestabilan politik untuk rakyat negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semangat dan keyakinan jentera BN Sabah ketika ini menjadi isyarat bahawa rakyat negeri itu masih menaruh kepercayaan terhadap perjuangan gabungan berkenaan yang sudah lama terbukti membawa kemajuan.

“Kita mahu ‘Bikin Balik Sabah’ bukan sekadar slogan, tetapi satu komitmen untuk menghidupkan semula ekonomi negeri ini, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik pelaburan yang boleh memakmurkan rakyat.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Pengerusi BN merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Naib Pengerusi BN merangkap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, berkata, kepimpinan BN Sabah kini lebih bersatu dan bersedia menghadapi PRN dengan tekad memperbaiki segala kelemahan lampau, khususnya dalam aspek ekonomi dan sosial.

Beliau turut menegaskan BN akan menampilkan 80 peratus muka baharu dalam senarai calon sebagai langkah memperbaharui semangat perjuangan parti di negeri itu, termasuk penyertaan besar daripada calon wanita, pemuda dan puteri.

Katanya, rakyat Sabah memerlukan kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah asas seperti bekalan air bersih, gangguan elektrik serta kadar pengangguran tinggi yang kini mencecah 7.7 peratus, tertinggi di Malaysia.

“Selepas tujuh tahun kita berdepan cabaran dan fitnah, UMNO dan BN Sabah kini bangkit semula dengan semangat baharu.

“Sabah untuk rakyat Sabah dan BN Sabah adalah wadah untuk semua lapisan rakyat negeri ini,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan BN telah membuktikan rekod kejayaan apabila kadar kemiskinan Sabah menurun daripada 23.4 peratus pada 2009 kepada 14.8 peratus pada 2018.

Sementara pendapatan isi rumah serta kemudahan luar bandar turut meningkat sepanjang tempoh pemerintahan BN sebelum ini.

Beliau turut menyeru jentera BN di semua peringkat supaya turun ke lapangan, berinteraksi dengan masyarakat menggunakan bahasa mudah dan pendekatan mesra rakyat bagi mengembalikan keyakinan terhadap parti itu.

“Walaupun lawan kita mungkin ada duit, ada janji dan ada tawaran, tetapi hati, jiwa dan minda rakyat Sabah tetap bersama Barisan Nasional. Ambil bantuan mereka jika diberi, tapi undilah BN demi masa depan Sabah,” tambahnya.

SumbeR: Belutin TV3

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *