
TAWAU: Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh yakin gelombang sokongan anak muda terhadap Barisan Nasional (BN) semakin pulih menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, kehadiran ramai golongan muda dalam setiap program BN menunjukkan perubahan positif dan bukti jelas bahawa parti ini kembali mendapat tempat di hati anak muda Sabah.
“Hari ini kita melihat anak-anak muda Sabah berani keluar, memakai baju BN dan membawa bendera BN dengan penuh semangat. Ini menolak tohmahan kononnya orang muda sudah tidak bersama BN.
“Sokongan ini membuktikan barisan kepimpinan baharu BN mampu menarik minat golongan muda dengan wajah dan semangat baharu untuk membawa harapan baharu kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Santai Anak Muda Bersama Dr Akmal Saleh, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, BN kini memberi ruang besar kepada calon muda untuk diketengahkan dalam pilihan raya Sabah, selaras dengan semangat pembaharuan parti itu.
“Seperti yang disebut oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebanyak 70 hingga 80 peratus calon yang diketengahkan kali ini adalah muka baharu berusia bawah 40 tahun.
“Ini menunjukkan BN benar-benar serius memberi peluang kepada generasi muda memimpin,” katanya.
Mengulas mengenai peluang BN di kawasan Parlimen Tawau, Dr Akmal berkata, pihaknya optimis untuk merampas semula semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.
“Insya-Allah, ada calon muda yang akan diketengahkan di Tawau. Kita yakin dengan gelombang kebangkitan anak muda yang semakin kuat, BN mampu mencipta kejayaan besar kali ini,” katanya.
Beliau berkata, sambutan luar biasa daripada golongan muda sepanjang siri jelajah di beberapa daerah di Sabah termasuk Kinabatangan, Kunak dan Tawau membuktikan semangat mereka terhadap BN semakin membara.
“Semalam di Kinabatangan penuh orang muda, pagi tadi di Kunak pun sama, dan petang ini di Tawau saya sendiri tak sangka betapa ramai anak muda hadir.
“Mereka bukan sekadar datang menaiki motosikal, tetapi dengan penuh bangga memakai baju dan melaungkan slogan BN,” katanya.
Dr Akmal berkata, semangat yang ditunjukkan itu menandakan momentum baharu kepada BN untuk kembali bangkit di Sabah.
“Kita konsisten membawa suara orang muda dan rakyat tanpa rasa takut. Insya-Allah, di bawah kepimpinan baharu Barisan Nasional, Sabah akan mula berubah,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah