
JOHOR BAHRU: PKR perlu mendapat kerusi yang munasabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau juga sudah berbincang dengan rakan gabungan termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.
“Saya dah bincang dengan Ahmad Zahid, Hajiji dan pemimpin lain dalam GRS dan memutuskan kerjasama boleh diadakan bagi menghadapi PRN Sabah.
“Namun PKR harus diberi peluang mendapat kerusi munasabah untuk sama-sama berjuang di Sabah (PRN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Presiden PKR, pada hari terakhir Kongres PKR Johor 2025, di sini, hari ini.
Terdahulu, pada sesi penggulungan Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar dilaporkan PKR menuntut sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah.
Nurul Izzah yang digelar Puteri Reformasi mencadangkan Presiden PKR berbincang dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan bagi berdepan PRN Sabah tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Anwar mengarahkan pimpinan PKR membabitkan Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti yang baharu diumumkan, supaya memulakan gerakan jentera bagi berhadapan pilihan raya.
“Saya arahkan gerakan jentera pilih raya sekarang. Pemimpin yang akan ke Makkah, namun sebelum beliau pergi perlu menggerakkannya segera.
“Pada 29 Mei depan, selepas selesai sidang Kemuncak ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, PKR akan adakan Mesyuarat Khas Biro Politik PKR untuk bincangkan isu PRN Sabah,” katanya.
SumbeR: BH Online
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah