
SANDAKAN: Lima cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Batu 9, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta jenis sedan berlanggar dengan pacuan empat roda.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Rosemidian @ Rosdi Majid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat lima mangsa terdiri dua lelaki dan tiga wanita mengalami kecederaan.
“Semua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba membuat pembersihan di kawasan kemalangan, sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.22 tengah malam,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah