
KOTA KINABALU : Seekor lagi gajah Pgymy Borneo ditemui mati tanpa kepala dalam kejadian di Kalabakan, Tawau.
Susulan penemuan itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, kementerian telah mengeluarkan amaran tegas kepada pihak yang bertanggungjawab atas insiden tersebut.
Beliau menegaskan, sebarang perbuatan kejam dan pemburuan haram terhadap hidupan liar yang dilindungi di Sabah tidak akan dikompromi.
“Kami sedaya upaya memastikan pelaku jenayah ini dapat dikesan dan dibawa ke muka pengadilan seterusnya didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.
“Kementerian memandang serius penemuan terbaharu bangkai gajah Pgymy Borneo tanpa kepala dan ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh masa singkat.
“Ini menunjukkan kemungkinan wujudnya kegiatan pemburuan haram yang semakin berleluasa di negeri ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah telah melancarkan siasatan segera berhubung insiden ini.
“Tindakan penguatkuasaan diperhebat, termasuk operasi bersama dan sekatan jalan raya dengan agensi keselamatan lain sedang dilaksanakan di lokasi strategik bagi membanteras kegiatan haram ini,” katanya.
Tambah beliau, insiden yang berlaku itu memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk penguat kuasa dan komuniti setempat.
“KePKAS menyeru semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan,” katanya.
Christina dalam pada itu turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes melibatkan gajah Pgymy Borneo terutama sejak suku terakhir tahun 2024.
“Gajah Pgymy Borneo adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang kesalahan terhadap spesies ini boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda besar serta penjara.
“Dengan anggaran populasi liar yang hanya tinggal antara 1,500 hingga 2,000 ekor, setiap kehilangan merupakan tamparan hebat terhadap usaha berterusan untuk melindungi dan memulihara spesies terancam ini,” ujarnya.
Pada Januari lalu melaporkan penemuan gajah tanpa kepala dan kaki berhampiran kawasan Maliau Basin di Kalabakan.
SumbeR: SINAR
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah