
TAWAU: Polis menahan dua lelaki dan merampas lebih 250 gram dadah jenis syabu dalam dua lokasi operasi berlainan di daerah ini, semalam.
Semua tangkapan dan rampasan itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki di Taman Perumahan Batu 14 Jalan Apas, di sini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek adalah warga asing berusia 30-an disyaki aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah.
“Suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di kawasan berkenaan dan kemudian menyerahkan beg kertas yang berisi lima paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan mendapati dadah jenis syabu berkenaan seberat 249.77 gram dianggarkan bernilai lebih RM16,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil saringan awal mendapati air kencing suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jasmin berkata, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki berusia 40-an di kawasan Kampung Serudung Baru, Batu 15 Jalan Apas.
Katanya, hasil pemeriksaan awal, polis menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.07 gram di dalam beg yang dibawa suspek terbabit.
“Hasil ujian awal air kencing suspek turut mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah