
KOTA KINABALU : Seorang pemimpin dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata komponen itu bersedia menerima kemasukan pemimpin politik dari parti lain yang mempunyai aspirasi sama termasuk Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya.
Shahelmey dari Barisan Nasional yang penyokong pentadbiran Hajiji Noor hampir pasti tidak dicalonkan untuk mempertahankan DUN Tanjung Keramat pada PRN kerana didakwa telah ‘mengkhinati’ Umno oleh Ketuanya Bung Moktar Radin.
Namun Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Nizam Abu Bakar Titingan berkata sama ada individu yang diterima masuk nanti akan dicalonkan mewakili GRS dalam PRN, perkara itu diserahkan kepada pimpinan untuk diputuskan.
“GRS terima sesiapa sahaja pemimpin atau individu (bukan hanya Shahelmey) mahu berkongsi aspirasi sama dengan perjuangan kami di bawah kepimpinan Hajiji,” kata Adun Apas itu.
Jumaat lalu, Bung Moktar berkata Umno Sabah tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah ‘mengkhianati’ parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.
Beliau mengulas kenyataan Shahelmey ingin membuat pengesahan mengenai status keahlian dalam Umno, selepas dikatakan digantung sebelum ini.
“Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding dalam pilihan raya, maka Umno harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia,” kata Bung Moktar.
Penggantungan keahlian Shahelmey selama enam tahun diumumkan Umno Sabah 18 Mac 2023.
Sebelum itu, Shahelmey mengekalkan sokongannya kepada Hajiji Noor sebagai ketua menteri, selepas Bung mengumumkan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik balik sokongan pada 7 Jan tahun sama.
Selain DUN Tanjung Keramat dimenangi lima tahun lalu, Shahelmey juga menang Parlimen Putatan atas tiket BN pada PRU15 berlangsung 2022.
Oktober tahun lalu, Bung Moktar mengumumkan Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN di kerusi Tanjung Keramat.
SumbeR: FMT
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah