
PENAMPANG: Dua penghuni dilaporkan maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Limbanak, di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian jam kira-kira jam 3 pagi itu, seorang mangsa wanita berumur 50-an maut selepas dilaporkan terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi rentung selepas dipercayai terperangkap di rumah terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.26 pagi.
Katanya, sepasukan 19 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Penampang dan BBP Putatan digegaskan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 185 meter persegi yang terbakar 100 peratus.
“Terdapat dua mangsa meninggal dunia yang disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media.
Zeno berkata, terdapat tiga penghuni di dalam rumah berdasarkan kenyataan orang awam, salah seorang dipercayai terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi ditemui rentung di dalam rumah.
“Mangsa ketiga masih dalam pencarian di kawasan sekitar rumah dan pasukan unit K9 digerakkan ke lokasi bagi mencari mangsa terbabit.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan dari sumber air terbuka anak sungai.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.31 pagi dan ditamatkan jam 8.15 pagi, bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk mencari mangsa yang masih hilang bersama pihak polis,” katanya.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah