GRS Teruskan Kerjasama Dengan PH Sabah PRN17

Hajiji berucap pada majlis sempena sambutan Krismas Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu. 

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi indikasi untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan lihat, kalau fikiran mereka baik, tidak melampau, kita akan pertimbangkan kerjasama ini. Apa yang penting adalah perpaduan, sebab itulah saya mahu memastikan kebaikan untuk semua.

“Saya menjadi Ketua Menteri bagi memastikan perpaduan dan itu adalah sebab GRS ditubuhkan dengan lapan parti komponen termasuk parti kecil, namun niat saya untuk menyatukan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sempena Hari Natal di sini, semalam.

Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata beliau telah memaklumkan kedudukan kukuh GRS dalam menghadapi PRN akan datang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami yakin GRS akan terus mendapat sokongan rakyat pada PRN akan datang,” katanya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru semua ahli parti untuk merapatkan barisan, mengukuhkan perpaduan dan fokus kepada persiapan menghadapi PRN.

“Tempoh kerajaan ini akan berakhir pada Oktober dan ini bermakna kita boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum atau pada masa itu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *