KUALA LUMPUR: Bayaran haji bagi tahun 2025 naik 20 peratus bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada 2024.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan T20 yang kali pertama kekal RM33,300 pada 2025 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.
Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media khas hari ini.
Kos haji kekal RM33,300 sebagaimana tahun lalu
Syed Hamadah berkata, Lembaga Tabung Haji telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M di mana kos haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
Katanya, bagi tujuan mengekang kenaikan kos, TH mengambil pelbagai langkah perlu termasuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan.
“Bagi mengawal kos, TH berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat,” katanya.
Katanya, kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dengan ia adalah di luar kawalan TH.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost