![](https://sp-ao.shortpixel.ai/client/to_webp,q_glossy,ret_img,w_731,h_446/https://www.sabahpost.net/wp-content/uploads/2024/12/bungjiji2.jpg)
KOTA KINABALU: Siri video mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan dakwaan skandal perlombongan dilihat sebagai sebahagian plot yang diketuai Umno bertujuan menggugat kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Susulan video yang didedahkan seseorang didakwa pemberi maklumat itu, Umno Sabah mendesak Ketua Menteri Hajiji Noor meletak jawatan.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang menurut sumber sedang mengintai jawatan ketua menteri, bagaimanapun menegaskan desakan agar Hajiji meletak jawatan bertujuan membuka laluan siasatan telus dijalankan oleh pihak berkuasa.
Satu sumber lain yang enggan dikenali memberitahu FMT, skandal perlombongan itu ialah usaha terancang oleh Umno untuk menggulingkan pentadbiran Hajiji.
Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim yang menggesa Hajiji meletak jawatan berkata, sebagai ketua menteri dan individu bertanggungjawab ke atas hal ehwal negeri, Hajiji mesti mengambil tanggungjawab penuh berhubung perkara itu.
Bendahari Pemuda Umno Naim Kurniawan Moktar, yang juga anak Bung, turut menggesa Hajiji berundur dan mencadangkan Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan mengetuai kerajaan interim.
Barisan Nasional Sabah, yang dipengerusikan Bung, semalam turut mencabar Hajiji dan Adun terlibat menyaman pemberi maklumat tersebut.
Ketua penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir telah menafikan dakwaan bahawa Umno dalang di sebalik tuduhan berkaitan skandal perlombongan tersebut.
Bung, yang pernah menganggotai Jemaah Menteri Hajiji, juga menolak dakwaan bahawa skandal itu adalah sebahagian strategi menjatuhkan ketua menteri.
“Ini bukan tentang menyingkirkan Hajiji. Ini tentang kepentingan awam dan memikul tanggungjawab,” katanya kepada FMT, sambil menambah rakyat Sabah ‘keliru’ dan sehingga kini tiada siasatan terhadap skandal tersebut.
Sementara itu, Hajiji menegaskan kerajaan pimpinannya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen walaupun terdapat video menunjukkan Adun negeri itu didakwa membincangkan rasuah.
Katanya, video itu telah ‘disunting dan disebarkan dengan niat jahat’ sebagai usaha terdesak untuk mencemarkan reputasi kerajaan.
Sayap pemuda parti Hajiji, Gagasan Rakyat Sabah, turut menegaskan bahawa tiada satu pun video tersebut yang mengaitkan presiden mereka.
Penyokong Hajiji, dalam menangkis gesaan agar beliau meletak jawatan, mengingatkan bahawa Bung sendiri pernah menjadi timbalan ketua menteri walaupun sedang menghadapi kes rasuah.
Bung didakwa pada 2019 dengan dua tuduhan menerima rasuah lebih RM2.2 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam amanah saham Public Mutual. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai salah seorang timbalan ketua menteri Sabah.
Bung berkata, tidak relevan bahawa tiada seorang pun yang diheret ke mahkamah, dan tanggungjawab penuh mesti dipikul Hajiji.
“Video itu menunjukkan ramai menteri terlibat. Seseorang mesti bertanggungjawab. Dan jujurnya, sebagai ketua Umno Sabah, saya mahu beliau (Hajiji) pikul tanggungjawab itu,” katanya.
Beliau juga berkata, Hajiji sendiri boleh mengarahkan pihak berkuasa agar memulakan siasatan terhadap individu-individu yang terkait dalam video tersebut.
Apabila ditanya siapa yang patut menggantikan Hajiji jika beliau meletak jawatan, Bung enggan menyokong mana-mana calon kerana menurutnya, keputusan itu bukan di tangannya.
“Saya bukan dalam kerajaan, itu terpulang kepada mereka (kerajaan semasa). Ada yang sebut Jeffrey Kitingan, tetapi itu bukan daripada saya.”
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia mengambil alih jawatan Hajiji, Bung berkata, “Saya akan pertimbangkannya.” – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost