KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas selepas hilang ketika mandi di sebatang sungai di Kota Belud semalam.
Mayat Lysbet Tom Jones, 10, ditemukan pada 8.36 pagi kira-kira 600m dari lokasi dia dilaporkan hilang di Kampung Piasau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pasukan operasi bersama agensi penyelamat lain memulakan gerakan SAR hari kedua pada 8.10 pagi tadi.
“Mangsa berjaya ditemukan pasukan SAR bersama penduduk kampung pada jarak 600m dari lokasi dia hilang.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 9.40 pagi.” katanya, lapor Berita Harian.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, tambahnya.
Pada kira-kira 2.30 petang semalam, Lysbet dipercayai hilang ketika mandi-manda di sungai berkenaan bersama beberapa rakan.
BBP Kota Belud yang menerima panggilan mengenai kejadian itu 2.41 petang kemudian menggerakkan operasi SAR, dibantu polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost