Dua Cedera, Pacuan Empat Roda Jatuh Sungai

Pacuan empat roda sarat dengan muatan ikan terbabas masuk ke dalam Sungai.

TAWAU: Dua cedera selepas pacuan empat roda yang sarat membawa ikan terbabas jatuh ke dalam Sungai di Batu 2 Jalan Apas, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 32 dan 31 tahun itu mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah pacuan empat roda yang membawa muatan ikan telah terbabas sendiri dan jatuh ke dalam Sungai.

“Terdapat dua mangsa termasuk pemandu kenderaan terbabit mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, salah seorang daripada mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan seorang lagi diselamatkan oleh pasukan bomba.

“Kedua-dua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Tawau oleh ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.04 pagi,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *