SAPP Mahu Tanding PRN Bawah GRS Bukan PN

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata sejak dulu lagi tidak mahu parti Semenanjung bertanding di Sabah.

KOTA KINABALU : Parti Maju Sabah (SAPP) ‘berkeras’ tidak mahu Perikatan Nasional (PN) bertanding pada PRN Sabah walaupun parti itu menjadi komponen gabungan tersebut.

Presiden Yong Teck Lee, berkata atas pendirian itu, ia mengundang kemarahan Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee, selepas menyatakan hasrat SAPP mahu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, SAPP masih menjadi ahli PN, namun pendirian itu kekal dan beliau sudah menyuarakannya kepada kepimpinan PN agar tidak meletak calon.

“Kita masih ‘member’ (ahli) PN dan saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah pada PRN. Mereka memang marah, Ronald Kiandee (pengerusi PN Sabah ) dan lain-lain, tapi itulah pendirian SAPP.

“Sejak PRU 2022 kita sudah umum bahawa SAPP akan bertanding guna lambang GRS, bukan PN. Kali ini pun, kita sudah maklumkan akan bertanding bawah GRS, menggunakan lambang GRS, katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan SAPP di Kota Kinabalu.

Yong yang juga bekas ketua menteri ketika mengulas lanjut berkata, pendirian membantah parti Semenanjung bertanding di Sabah sudah lama disuarakan.

Bagaimanapun, ia hanya pendirian parti memandangkan undang-undang tidak melarang mana-mana parti bertanding.

“Jadi, rakyat yang akan putuskan siapa mereka pilih. Kita konsisten bahawa parti Semenanjung tidak patut bertanding di Sabah untuk PRN.

“Namun, undang-undang tidak melarang, jadi tidak perlu marah-marah kerana itu hanya pendirian kita, katanya.

Selain SAPP, PN turut dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan terbaru Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *