KINABATANGAN: Lelaki yang hilang selepas terjatuh dari feri mengangkut barang ketika menyeberang sungai di kawasan estet, di sini, Ahad lalu, ditemukan lemas, pagi tadi.
Mayat mangsa berusia 45 tahun itu ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira jam 10.30 pagi selepas operasi pencarian yang berlangsung selama tiga hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, lelaki warga Indonesia terbabit ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
“Mayat mangsa terus diangkat ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian Ahad lalu, mangsa yang sedang melakukan kerja mengangkut baja dengan menggunakan feri barang dilaporkan terjatuh semasa menyeberang sungai.
Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan menggunakan dua bot dengan kaedah pencarian permukaan air.
Operasi pencarian menyelusuri sungai berkenaan turut dibantu beberapa bot daripada agensi lain dan orang awam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost