Pelajar Sabah Penerima World Changer Award Melalui Projek Kesihatan Mental

KENINGAU : Seorang pelajar Seni Kulinari Kolej Vokasional Keningau, Nur Afiqa Amani Muhd Safwan Sajani, telah dipilih sebagai penerima World Changer Award daripada Special Education Network & Inclusion Association (SENIA) yang telah diumumkan secara rasmi di laman sesawang persatuan tersebut pada 5 Ogos 2024.

Anugerah tersebut diberikan oleh SENIA, persatuan global berkhususkan dalam bidang pendidikan khas, kepada mereka yang telah memberi sumbangan terhadap komuniti berkeperluan khas.

Butiran sumbangan pelajar ini sehingga dipilih sebagai pemenang anugerah tersebut boleh diakses melalui pautan: https://www.seniainternational.org/nur-afiqa-amani-august-2024-senia-world-changer-award-recipient/

Afiqa Amani telah melancarkan kempen kesedaran kesihatan mental yang dinamakan “It’s Okay” pada awal tahun 2023 untuk membantu para pelajar menangani masalah kemurungan dan kebimbangan yang melampau dengan menggunakan kemahiran sosioemosi.

Melalui projek ini, dia telah berjaya membimbing pasukannya untuk melaksanakan beberapa aktiviti seperti bengkel pembelajaran sosioemosi, terapi origami, pesta tarian dan kembara alam.

Projek tersebut menggunakan konsep visual seperti penggunaan emoji untuk membantu para pelajar menyatakan perasaan mereka dan beberapa aktiviti seperti pesta tarian yang berbentuk fizikal dan terapi origami yang berunsurkan kreativiti yang membantu menyalurkan emosi mereka.

Pendekatan sebegini turut membantu rakan-rakan pelajar berkeperluan khas dari kolej tersebut untuk meluahkan dan menyalurkan perasaan mereka dengan tepat dan selesa.

Pada tahun lepas, Afiqa telah dipilih sebagai pembicara jemputan ke Youth Summit di Manila, Filipina, anjuran SEAMEO INNOTECH dimana dia telah ditaja penuh oleh pihak penganjur untuk membuat perkongsian berkenaan dengan projek ini di sidang kemuncak tersebut yang dijalankan secara bersemuka di negara itu.

Projek ini juga telah menerima dana melalui Amal Fund pada tahun 2024 untuk terus disebarluaskan agar ianya dapat memberi faedah kepada komuniti yang lebih luas.

Afiqa Amani meluahkan rasa gembira kerana dianugerahkan dengan pengiktirafan tersebut memandangkan ianya merupakan satu penghargaan bagi kempen kesihatan mental yang telah dirintisnya dan ini membolehkan projek tersebut mendapat perhatian orang awam dan pihak-pihak tertentu.

Pengarah kolej itu, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada pelajar ini dan berharap agar projek yang mementingkan perkembangan dan pengurusan keseimbangan rohani, fizikal dan emosi agar terus dilaksanakan untuk memastikan kemenjadian menyeluruh para pelajar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *