TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas memandu di bawah pengaruh dadah dan merempuh enam buah kenderaan termasuk sebuah motosikal di Batu 3 Jalan Apas, di sini, semalam.
Seorang lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian tangan dan lutut akibat dirempuh kereta suspek.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.15 petang.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 5.07 petang membabitkan sebuah kereta merempuh enam buah kenderaan termasuk sebuah motosikal.
“Ketika kejadian, suspek lelaki berusia 32 tahun memandu sebuah kereta dari arah Jalan Apas menuju ke bandar Tawau.
“Namun, sebaik menghampiri sebuah mini market di Batu 3 Jalan Apas, suspek memandu secara melulu dan merempuh enam buah kenderaan termasuk sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, dalam kemalangan itu seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan di kedua belah tangan dan bahagian lutut.
Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memandu kenderaan ketika itu dalam keadaan dipengaruhi dadah.
“Pihak Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost