GRS Nafi PBS, STAR Bertanding Solo PRN Sabah Akan Datang

Hajiji Noor (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Star, Jeffrey Kitingan menunjukkan logo GRS selepas mesyuarat pertama gabungan itu.

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan dua parti gabungannya, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merancang bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai berkata kedua-dua parti komponen itu kekal komited kepada GRS dan bekerjasama sebagai sebuah gabungan untuk menghadapi PRN berkenaan.

“Ini adalah tindakan terdesak dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan GRS kerana peningkatan sokongan kepada parti-parti tempatan untuk terus menerajui kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak terbabit telah menyunting tajuk berita dalam percubaan menggarap naratif palsu.

Selain PBS dan STAR, GRS turut dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Maju Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Parti Liberal Demokratik, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.

Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS menyifatkan dakwaan itu sebagai langkah strategik parti lawan dengan motif tersembunyi untuk menimbulkan perbalahan dalam kalangan parti komponen GRS.

Beliau turut menyeru penyokong dan orang ramai supaya tidak mengendahkan maklumat palsu itu serta terus menyokong GRS kerana gabungan itu berusaha untuk menjaga kepentingan dan aspirasi rakyat Sabah.

Menurut Joniston, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS sentiasa  mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti-parti komponen, sekali gus menjadi bukti hubungan mesra antara mereka.

“Menjadi perkara biasa apabila parti menyuarakan minat untuk bertanding sebanyak mungkin kerusi, tetapi pada akhirnya ia perlu dibincang dan diputuskan apabila tiba masanya,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *