Dua Lelaki Ditahan Disyaki Terbabit Seleweng Minyak Diesel

Minyak diesel yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.

PENAMPANG: Dua lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi Ops Tiris di Jalan Penampang, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan oleh pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira jam 9.10 malam.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan dan seterusnya menahan dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan sebuah kenderaan Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan jenis IBC pada bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 900 liter.

“Pemeriksaan lori turut ditemukan tangki jenis fiber di bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 600 liter. Kedua-dua kenderaan ini ditahan ketika cuba membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang.

“Barangan yang disita iaitu 1,500 liter minyak diesel, dua kenderaan, tangki IBC, fiber, hos getah, dan dua unit mesin pam minyak. Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM43,855,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Georgie berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 40 tahun iaitu pemandu kedua-dua kenderaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, kedua-dua suspek yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.

“Dikenal pasti juga modus operandi bagi aktiviti ini adalah membeli minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam dan mengumpulkannya sebelum disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *