PENAMPANG: Polis menahan dua wanita dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua wanita terbabit adalah warga asing iaitu suspek berumur 18 tahun dan mangsa berumur 25 tahun ditahan pada hari yang sama.
Katanya, menerusi rakaman video yang berdurasi dua minit 16 saat itu, suspek didapati memukul mangsa.
Menurutnya, hasil siasatan turut mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Polis Penampang menggerakkan pasukan bagi mengesan seorang lagi suspek yang dilihat memukul mangsa.
“Motif kejadian dikatakan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suami suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Selain itu jelasnya, kes terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes video tular itu agar segera berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-712222.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost