Polis Cari Lelaki Terbabit Cubaan Samun Di Tawau

Polis sedang mengesan suspek kes cubaan samun wanita.

TAWAU: Polis sedang mengesan seorang lelaki selepas cuba menyamun seorang wanita di kawasan tempat letak kereta berhampiran Pelabuhan Tawau, di sini, pagi tadi.

Kejadian itu turut tular apabila sempat dirakam oleh orang awam di tempat kejadian yang memaparkan suspek bertindak mencekik leher mangsa di dalam kereta sebelum melarikan diri.  

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Mangsa dikatakan hendak masuk ke dalam kenderaan sebelum didatangi oleh lelaki tidak dikenali yang menegur dan mengatakan tayar keretanya pancit.

“Suspek secara tiba-tiba terus mencekik leher mangsa dan cuba untuk mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal lalu melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sejurus kejadian itu, mangsa wanita tempatan berusia 32 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Tawau.

“Siasatan diteruskan untuk mengesan lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan samun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Izzul Adha Mohd Razali di talian 019-7705577,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *