KENINGAU: Seorang anggota tentera Diraja Brunei maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun, warga Brunei mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal secara berkonvoi bersama rakan dengan empat motosikal yang lain.
Katanya, mangsa bersama rakannya dari arah Keningau ke Sandakan bagi menghadiri jemputan program permotoran Asean pada 19 hingga 21 Julai di Sandakan.
“Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun keluar simpang memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.
“Mangsa cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan sebelah kanan pacuan empat roda berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu motosikal mangsa tercampak ke sebelah kanan bahu jalan arah bertentangan manakala mangsa terjatuh dan terperosok di bawah pacuan empat roda.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian badan, kaki kiri patah dan rusuk kiri. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
“Pada jam 2.56 petang hari yang sama mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika mendapat rawatan di Wad Kecemasan Hospital Keningau,” katanya.
” Pemandu pacuan empat roda terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost