PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang belum menerima sebarang laporan polis berkenaan kes gaduh yang dikesan berlaku berhampiran sebuah pasaraya di daerah ini.
Video berdurasi dua minit 16 saat yang memaparkan tiga wanita terlibat dalam pergaduhan dipercayai berlaku di kawasan parkir kenderaan pasaraya terbabit tular di platform media sosial sejak 19 Julai.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya maklum dengan kejadian itu, bagaimanapun hasil semakan mendapati tiada laporan polis diterima setakat ini.
“Pihak polis meminta saksi-saksi di tempat kejadian atau individu yang terlibat untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Sebarang maklumat boleh segera berhubung dengan IPD Penampang di talian: 088-712222,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang bahan yang tidak sahih di mana-mana platform media sosial mengenai kejadian ini bagi mengelakkan kegusaran yang boleh menganggu keselamatan orang awam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost