Lelaki Hilang Dikhuatiri Dibaham Buaya Ditemukan Maut

Mangsa ditemukan di kedudukan 1.5 kilometer dari lokasi dibaham buaya.

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang hilang sejak Selasa lalu selepas dikhuatiri dibaham buaya ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai Kampung Sobak Perpaduan, di sini ditemukan meninggal dunia hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba N. Azlan Jamaluddin berkata, mangsa berumur 35 tahun itu ditemukan jam 10.15 pagi pada hari keempat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

“Mangsa berjaya ditemukan pasukan penyelamat di kedudukan 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.

“Pasukan penyelamat kemudian membawa mangsa ke kawasan kampung dan di serahkan kepada waris keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, operasi hari keempat itu dimulakan pada jam 8 pagi dan pencarian dijalankan menggunakan bot orang awam di sepanjang sungai dengan Jarak lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya. 

Katanya, operasi keseluruhan ditamatkan jam 1.04 petang.

Terdahulu, mangsa bersama anak lelakinya berumur 10 tahun melakukan aktiviti memukat di sungai berkenaan selepas mengambil buah kelapa sawit.

Mangsa dilaporkan hilang selepas diserang buaya, manakala anaknya pula selamat.

Azlan berkata, panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu diterima pada jam 11.07 malam Selasa.

Katanya, operasi SAR dijalankan selama empat hari dengan bantuan penduduk kampung serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *