
KENINGAU : Dua orang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, berjaya dipilih sebagai pemenang YOUTHMADE Festival Community Awards yang dianugerahkan kepada 11 pelajar yang dipilih daripada 49 pencalonan dari seluruh dunia.
Pemilihan penerima anugerah tersebut yang diberikan oleh Digital Promise, sebuah organisasi pendidikan berpangkal di Amerika Syarikat, adalah berdasarkan inisiatif komuniti setiap calon yang dinilai.
Siti Nur Hanisah Omar Hashim telah menerima anugerah Most Promising Young Social Entrepreneur manakala Caleb Evander Danius diiktiraf sebagai Most Outstanding Community Project Leader.
Senarai nama kesemua 11 pemenang tersebut beserta penerangan sumbangan mereka telah diumumkan secara rasmi di laman sesawang penganjur pada 29 Mei 2024. Para pemenang tersebut berasal dari negara Brazil, India, Indonesia, Kenya, Nigeria, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Malaysia.
Nur Hanisah Omar adalah pelajar tahun keempat Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang telah berjaya mengasas projek sosial berimpak iaitu Mearpet yang mengitar semula pakaian dan anak patung terpakai menjadi boneka yang digunakan untuk mendidik dan menghibur kanak-kanak.
Projek ini telah berjaya mendapat beberapa anugerah termasuklah naib johan pertandingan Pitchbah dengan memenangi RM 3000 pada tahun 2023 dan diiktiraf menjadi 10 projek terbaik pertandingan Youth Sustainable Projects (YSUP) peringkat Asia Tenggara pada tahun yang sama.
Dia diberikan anugerah tersebut atas usahanya memperkembangkan projek sosial itu sebagai satu perniagaan yang berimpak kepada komuniti.
Caleb Evander Danius adalah pelajar tahun akhir Teknologi Pembinaan dan dia menerima pengiktirafan anugerah dalam bidang kepimpinan projek komuniti kerana penglibatannya dalam kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara bangunan sekolah di sekitar Keningau.
Dia juga telah menulis artikel berkenaan dengan peranan kesukarelawanan belia dalam masyarakat yang telah diterbitkan di majalah ternama keluaran Sabah iaitu the Breeze pada April 2024.
Kedua-dua pelajar ini menjadikan pencapaian ini sebagai pendorong bagi mereka untuk terus memajukan inisiatif mereka masing-masing kerana mereka yakin ianya dapat membantu mereka meningkatkan prospek masa hadapan sambil membantu komuniti.
Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar ini yang merupakan antara pelajar terbaik kolej tersebut dan berharap agar pencapaian ini dapat meningkatkan motivasi para pelajar yang lain agar terus memberikan yang terbaik dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.
Pautan senarai pemenang anugerah beserta butiran berkenaan dengan sumbangan mereka boleh diakses melalui pautan https://digitalpromise.org/2024/05/28/announcing-the-2024-youthmade-festival-community-awards/
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost