Warga Emas Maut, Putus Kaki Kanan Kemalangan Di Jalan Tawau-Semporna

Mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Tawau-Semporna semalam.

TAWAU: Warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kanannya terputus apabila motosikal diboncengnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Tawau-Semporna dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan kira-kira jam 3.55 petang itu membabitkan motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Beliau berkata, mangsa berumur 70 tahun membonceng motosikal ditunggang lelaki berumur 40 tahun dari arah Inderasabah menuju ke Kampung Block 31, dikatakan dilanggar Perodua Alza dipandu lelaki berumur 45 tahun bersama seorang penumpang dari arah Lapangan Terbang Tawau menuju ke pusat bandar.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan penunggang motosikal yang dikatakan secara tiba-tiba mengubah haluan. Akibat jarak terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang tayar sebelah kiri motosikal menyebabkan kedua-duanya terseret ke bahu kiri jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini lewat malam tadi.

Jasmin berkata, pembonceng motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan putus kaki sebelah kanan sementara remaja lelaki turut cedera pada bahagian badan manakala pemandu dan penumpang MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *