Amang Seksual: Pemandu Bas Sekolah Dipenjara 15 Tahun, 4 Sebatan

Tertuduh diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan untuk menjalani hukuman.

TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun, Januari tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh,43, atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, di akhir kes pembelaan.    

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pemandu bas sekolah didakwa melakukan amang seksual fizikal iaitu duduk di atas paha mangsa.

Manakala pertuduhan kedua pula tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama iaitu dengan cara memegang tangan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bas sekolah semasa menunggu peralihan sesi persekolahan di sebuah sekolah antara jam 11.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari, masing-masing pada 25 dan 31Januari tahun lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan hanya menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh sendiri, sepanjang tempoh berbicaraan bermula pada 8 November 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suryana memohon kepada Mahkamah agar satu hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan menyebabkan mangsa trauma.

Mahkamah kemudiannya, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.

Hakim turut memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan selain menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perintah pelaksanaan hukuman.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *