Penjual Sayur Parah Ditetak Guna Pedang Samurai

Tunang mangsa menunjukkan lokasi kejadian di tepi jalan masuk ke kawasan perumahan Melinsung Summer Bay Apartment, Papar.

PAPAR: Seorang penjual sayur parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai ditetak dengan sebilah pedang samurai dalam kejadian samun di tepi jalan masuk kawasan perumahan Melinsung Summer Bay Apartment, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun dilaporkan patah tulang selain luka di kedua-dua belah tangannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa bersama tunangnya baharu selesai menghantar sayur ke Kota Kinabalu.

Katanya, kedua-dua mereka kemudiannya bergerak pulang ke Papar sebelum singgah di tempat kejadian untuk makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Mangsa bersama tunangnya parkir kenderaan mereka di tepi jalan sebelum berjalan ke kedai makan berkenaan.”

“Bagaimanapun, sebuah kereta Perodua Myvi tiba-tiba berhenti berhampiran mangsa sebelum seorang lelaki yang memegang benda tajam disyaki sebilah (pedang) samurai terus menyerang tunang mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata suspek yang memakai topi keleder dikatakan merampas beg silang milik tunang mangsa sehingga berlaku bergelutan antara mangsa dengan suspek terbabit.

Katanya, mangsa ditetak sebanyak dua kali menggunakan pedang samurai dan menyebabkan kedua-dua tangannya cedera.

Mangsa dalam keadaan stabil dan turut kehilangan barang iaitu beg yang mengandungi beberapa dokumen penting dan telefon bimbit.

Suspek berjaya melarikan diri menggunakan Perodua Myvi yang dipercayai dipandu rakan sejenayah suspek.

“Selepas kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Papar oleh tunangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Kamaruddin berkata pihaknya masih berusaha mengesan suspek terbabit.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Sementara itu, Kamaruddin berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak berjalan di kawasan yang agak gelak dan sunyi di waktu malam.

“Selain itu, perlu meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang terang atau ada lampu serta memastikan kawasan persekitaran adalah selamat sebelum bergerak ke mana-mana,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *