
SEMPORNA: Seorang wanita warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penemuan bayi lelaki yang ditinggalkan di laluan pejalan kaki depan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini, pagi tadi.
Bayi dipercayai berusia dua bulan itu ditemukan orang awam dalam keadaan berbungkus kain kira-kira jam 7 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 8.16 pagi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi terbabit berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan siasatan dijalankan, polis berjaya menahan seorang wanita warga asing berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dengan niat membuangnya.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membantu siasatan kes berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Munnesh A/L Jegathesuran di talian 012-9922566 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah