6 Pengedar Dadah Ditahan Bersama Dua Kilogram Syabu Di Tawau

Enam pengedar dadah ditahan bersama dua kilogram syabu

TAWAU: Enam lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan bersama dadah disyaki jenis syabu seberat dua kilogram dalam satu serbuan di Kampung Inderasabah, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua suspek terbabit cuba melarikan diri, namun gagal selepas dikepung oleh pasukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati salah seorang suspek adalah warga tempatan dan lima lagi warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemukan dua bungkusan bertulis Freeso-Dried Durien berwarna keemasan mengandungi bahan hablur disyaki dadah jenis syabu.

“Jumlah anggaran kasar dadah yang dirampas adalah seberat 2,016.92 gram bernilai RM120,282 dan semua suspek terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, semua suspek terbabit ditahan reman selama tujuh hari sehingga 9 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Polis sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan dan memberi amaran keras tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di daerah ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *