Pelajar KV Keningau Penerima Geran Amal Fund Untuk Projek Komuniti

KENINGAU : Sepasukan pelajar dari program Pendidikan Awal Kanak-kanak Kolej Vokasional Keningau telah dipilih sebagai penerima Amal Fund dimana mereka menerima dana berjumlah RM 500 untuk menyebarluaskan inisiatif mereka iaitu aktiviti-aktiviti pendidikan untuk kanak-kanak pra-sekolah.

Amal Fund merupakan peluang permohonan geran yang dilancarkan oleh Nurul Amalina Che Ariffin, seorang rakyat Malaysia yang kini bekerja di Hawaii, Amerika Syarikat.

Beliau melancarkan dana tersebut pada awal tahun ini khas untuk pelajar pelajar sekolah bagi membolehkan mereka melaksanakan khidmat komuniti untuk masyarakat setempat.

Pasukan ini dipimpin oleh Jyfreena Ryzza, seorang pelajar tahun akhir, bersama empat ahli yang lain; Dg Salma Atika, Musfirah Nasyitah, Nur Aishya Sibi dan Jeorgiena Dyvette.

Projek mereka yang dikenali sebagai Wonder Zone terdiri daripada aktiviti-aktiviti menarik untuk kanak-kanak prasekolah bagi membolehkan mereka memperkukuhkan asas literasi dan pengetahuan am.

Mereka telah menghasilkan beberapa alat bantu mengajar untuk projek ini yang telah pun dilaksanakan di taska Sinar Anak Permata, Keningau pada 12 Mac 2024.

Pasukan ini bercadang menggunakan geran ini untuk meneruskan projek tersebut di taska yang lain.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada pasukan ini atas kegigihan mereka menjadikan projek ini satu realiti.

Menurut beliau lagi, pencapaian sebegini membuktikan keupayaan pelajar dalam mencetus perubahan positif di kalangan komuniti.

Jyfreena Ryzza, yang merupakan bekas ahli majlis perwakilan pelajar kolej itu, meluahkan rasa bangga atas pencapaian pasukannya dan dia menjadikan geran yang diterima dari Amal Fund sebagai dorongan agar lebih terus gigih meneruskan usaha ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *