Kerajaan Sabah Bukan ‘Ayam Bertelur Riuh Sekampung’, Kata ADUN Kuamut

Adun Kuamut Masiung Banah

KOTA KINABALU : Seorang wakil rakyat Sabah mempertahankan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor bukan ayam bertelur, tetapi riuh sekampung kerana mereka bekerja tanpa dihebahkan dan akan menunjukkan hasil kepada rakyat.

Adun Kuamut, Masiung Banah memberi contoh banyak isu bekalan elektrik di Sabah akibat pertambahan penggunaan tenaga elektrik dengan kemasukan pelabur yang memulakan perniagaan di negeri itu.

“Kerajaan faham kadar penggunaan dari hari ke hari semakin bertambah, apatah lagi dengan kestabilan politik dan keyakinan pelabur luar terhadap kepimpinan kerajaan negeri ini, maka berduyun-duyun pelabur datang melabur membuka kilang dan sebagainya dan itu memerlukan tambahan penggunaan tenaga elektrik.

“Jadi kalau kita tanya apa cadangan, apa tindakan kerajaan negeri, inilah dia. Dengan bermulanya mengambil alih kuasa daripada kerajaan persekutuan, sebab selepas itu nanti semua perancangan akan dibentang dan sudahpun dibaca oleh ketua menteri sebentar tadi,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Sabah hari ini.

Katanya, beberapa perkara disimpulkan selepas meneliti dan mendengar Rang Undang-undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024 yang dibentangkan Hajiji.

“Yang pertama, ini menunjukkan komitmen daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri ini walaupun di luar didengar bahawa kerajaan di bawah pimpinan Adun Sulaman tidak bermaya, tidak cergas, tidak bersuara, tetapi kerajaan ini adalah kerajaan yang diam-diam, tetapi bekerja.

“Kita bukan macam ayam betina yang bertelur. Kalau ayam betina bertelur, dia bertelur satu biji satu kampung mendengar suaranya (berkokok). Tidak, Yang Berhormat (Adun ) Sulaman dia diam-diam, tetapi bekerja dan hari ini hasil daripada kerja Yang Berhormat Sulaman.”

Beliau meminta rakyat tidak perlu bimbang kerana tiada kenaikan tarif elektrik selepas pengambilalihan kuasa mengawal selia elektrik Sabah.

“Di luar sana bertanya adakah selepas ini kerajaan negeri akan menaikkan tarif elektrik, bil-bil elektrik adakah akan melambung naik? Menurut pandangan saya, yang kita akan luluskan hari ini tidak ada kenaikan tarif elektrik, jadi rakyat di luar jangan takut.

“Kami tidak meluluskan kenaikan tarif elektrik, tetapi sekadar untuk meluluskan mengambil alih kawal selia elektrik.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *