Sabah Rancang Ambil Alih SESB Tujuh Tahun Dari Sekarang – Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor melakukan Pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah, Bekalan Elektrik 2024 dan Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

KOTA KINABALU, 3 Jan : Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini diberitahu bahawa kerajaan negeri sedang merancang untuk mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam tempoh tujuh tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan Sabah akan mencari satu formula khusus bagi merealisasikan rancangan itu.

“Sekarang ini pemilikan SESB di peringkat kerajaan negeri hanya 17 peratus, manakala TNB (Tenaga Nasional Berhad) 83 peratus,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata faktor utama yang menyumbang kepada pemasalahan bekalan elektrik di Sabah ketika ini bukan hanya berkaitan dengan kekurangan kapasiti penjanaan, tetapi juga mengenai kenaikan beban pengguna.

Katanya Sabah memberi fokus kerpada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek dilaksanakan secara fast track bagi mencapai jidar simpanan penjanaan (generation spare capacity) ke tahap kukuh iaitu 30 peratus, komitmen yang selari dengan Pelan Induk Halatuju Tenaga Sabah 2040 yang dilancarkan September lepas.

Hajiji berkata usaha itu antara lain melibatkan penyewaan set janakuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100 Megawatt secara berperingkat iaitu 40 Megawatt pada Disember lepas dan 60 Megawatt pada Mac 2024.

“Selain itu, pelanjutan operasi loji janakuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70 Megawatt; di samping penyiapan projek Solar Berskala Besar (LSS) 62 Megawatt pada tahun ini.

“Cadangan pemasangan Battery Energy Storage System sebanyak 100 Megawatt yang dijadualkan siap pada 2026 akan diawalkan dengan disasar siap pada 2024; dan penyewaan loji berasaskan gas 100MW bagi tempoh interim sehingga loji gas tetap 100MW siap dibina,” jelasnya.

Bagi memastikan kemampanan kapasiti penjanaan mencukupi, Hajiji berkata Pelan Pembangunan Penjanaan jangka sederhana dan panjang juga akan dilaksanakan, antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek LSS 100 Megawatt.

Beliau berkata terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung-tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link.

“Ini akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna-pengguna industri di masa akan datang,” katanya.

Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 itu kemudian diluluskan dengan suara terbanyak. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *