Dr. Sirhajwan Terima Anugerah YSEALI Malaysia Alumni Awards Kategori Pendidikan

KENINGAU : Dr. Sirhajwan Idek, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, telah menerima anugerah YSEALI Malaysia Alumni Awards dalam kategori pendidikan daripada YSEALI Council of Malaysia (YCOM) pada 16 Disember 2023 di Berjaya Times Square Hotel semasa majlis YSEALI Malaysia Festival 2023.

YSEALI merupakan akronim kepada program tajaan kerajaan Amerika Syarikat iaitu Young Southeast Asia Leaders Initiative.

Dr. Sirhajwan merupakan salah seorang penerima geran projek YSEALI Seed for the Future bersama pasukannya beberapa tahun yang lepas. Anugerah itu disampaikan oleh timbalan duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Manu Bhalla.

Terdapat lima kategori iaitu pendidikan, alam sekitar, pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan sosial, penglibatan sivik dan ikon Malaysia YSEALI.

Dr. Sirhajwan dipilih sebagai penerima anugerah tersebut atas sumbangannya dalam bidang pendidikan yang dia berjaya kembangkan ke negara-negara lain khususnya di peringkat Asia Tenggara sejak menjadi alumni program YSEALI.

Dia telah merintis program pertukaran pelajar dan guru dalam talian bersama beberapa sekolah di Asia Tenggara pada tahun 2022.

Dia juga telah mempelopori kelas induk maya yang dikendalikan oleh guru-guru ternama dari negara negara lain di Asia Timur, Afrika, Eropah, Amerika Selatan, Amerika Utara dan Oceania.

Sebagai ketua kajian dan inovasi di sekolahnya, dia telah berjaya membimbing hampir 600 pelajar dalam membangunkan dan membentang projek inovasi mereka di persidangan penyelidikan dan pertandingan inovasi.

Beberapa pasukan pelajar yang dibimbingnya berjaya memenangi geran dengan jumlah maksimum Ringgit Malaysia 20,000. Malah, dua orang pelajarnya telah berjaya menjadi finalis Global Student Prize pada tahun 2022 dan 2023 iaitu anugerah paling berprestij untuk pelajar yang menawarkan hadiah berjumlah USD 100,000.00 kepada seorang pemenang setiap tahun.

Dia juga telah berkolaborasi dengan unit pendidikan khas untuk membantu para pelajar berkeperluan khas untuk menyertai pertandingan-pertandingan tertentu seperti inovasi dan festival seni.

Dr. Sirhajwan menjadikan anugerah ini sebagai motivasi dia untuk bergiat lebih aktif dengan aktiviti-aktiviti belia termasuklah aktiviti dibawah program YSEALI.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian Dr. Sirhajwan yang membuktikan kemampuan guru sebagai pencetus perubahan positif dalam bidang pendidikan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *