Pelajar Sabah Terpilih 10 Projek Lestari Belia Terbaik Peringkat ASEAN

KENINGAU : Siti Nur Hanisah Binti Omar Hashim, pelajar tahun ketiga jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Kolej Vokasional Keningau, yang telah menyertai Youth Sustainable Projects (YSUP) competition tahun 2023 anjuran European Union Delegation to ASEAN dengan projeknya yang dinamakan “Mearpet” telah dipilih sebagai 10 projek terbaik yang akan menerima beberapa hadiah berupa gajet, pementoran dari pakar, sijil dan baucar hadiah.

Pertandingan projek kelestarian itu terbuka kepada belia dari negara-negara Asia Tenggara yang berumur 18 sehingga 30 tahun yang telah mengasas atau mengetuai projek-projek yang bertemakan alam persekitaran, pendidikan, kesihatan, jantina dan pemerkasaan belia.

Sebanyak 152 penyertaan telah diterima oleh penganjur dan 10 projek terbaik dipilih sebagai pemenang.

Keputusan pertandingan tersebut diumumkan melalui hantaran email kepada para peserta pada 14 Disember 2023.

Projek Siti Nur Hanisah yang telah dia lancarkan pada hujung tahun 2022 adalah projek mengitar semula pakaian dan patung permainan terpakai kepada boneka beraneka jenis yang digunakan untuk tujuan mendidik dan menghibur kanak-kanak.

Tujuan projek ini adalah untuk mengurangkan pembuangan bahan buangan tekstil yang semakin meningkatkan dan pada masa yang sama membantu kanak-kanak belajar untuk bertutur dengan menggunakan boneka.

Projek ini juga berjaya membantu individu-individu berkeperluan khas yang mengendalikan bengkel berbayar menjahit boneka dari pakaian dan patung permainan bagi mereka yang berminat.

Dia beserta pasukannya juga telah membuat beberapa persembahan menggunakan boneka yang mereka hasilkan untuk kanak-kanak di beberapa tempat termasuklah di pusat membeli-belah di Kota Kinabalu.

Projek ini pernah dinobatkan sebagai naib johan pertandingan Pitchbah anjuran kelab Ooze pada bulan Julai 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC) dan menerima hadiah wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia 3,000.00.

Siti Nur Hanisah meluahkan rasa bersyukur dengan pencapaian ini yang telah membuatkan dia lebih bersemangat untuk menyebarluas projek ini agar dia dapat membantu lebih ramai individu.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, berasa berbangga dengan pemilihan projek pelajar ini sebagai 10 projek terbaik di Asia Tenggara kerana ianya menunjukkan impak pendidikan kolej vokasional di negara ini kepada golongan muda. Pendidikan kolej vokasional mampu melahirkan belia yang inovatif serta berkemahiran dan menggunakan apa yang mereka pelajari untuk membantu komuniti.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Video penyertaan yang telah dihantar oleh Hanisah ke pertandingan ini boleh diakses melalui pautan YouTube

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *