SUNGAI PETANI : Seorang remaja 13 tahun ditahan polis selepas tindakannya mengacukan sebilah pisau terhadap pemandu e-panggilan warga emas di Sungai Petani semalam, tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan berkata, kejadian kira-kira 5.43 petang itu dipercayai berlaku ketika pemandu berusia 65 tahun itu mengambil remaja terbabit di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.
Katanya, ketika dalam perjalanan, remaja terbabit meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 untuk membayar sewa rumah.
“Pemandu memberitahu sekiranya tidak mempunyai wang, dia terpaksa menurunkannya tetapi remaja itu enggan dan meminta pemandu bawanya ke Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab.
“Namun, sebaik tiba, dia telah minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi. Warga emas itu terlebih dahulu meminta bayaran sebanyak RM18 dan terus melakukan perjalanan sebelum remaja itu melengah-lengahkan bayaran dan meminta melalui beberapa lorong kecil.
“Disebabkan laluan tambahan, remaja itu kemudian diminta menambah bayaran sebanyak RM9 ketika sampai ke destinasi.
“Dia kemudian memberikan RM20 namun ketika pemandu mahu memulangkan baki, remaja terbabit mengacukan pisau ke dada kiri mangsa dan mahu merampas wang dari poket,” katanya menurut Sinar Harian.
Zaidy berkata tindakan suspek dipercayai berpunca daripada rasa marah akibat dimaki mangsa dan cuba mengambil semula bayaran tambang.
“Polis menerima laporan polis sekitar 8 malam dan remaja berkenaan telah ditahan dua jam kemudian. Sebilah pisau berhulu hitam panjang lebih kurang 25cmyang dibawa remaja itu turut dirampas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit 32 saat tular di media sosial menunjukkan tindakan remaja lelaki yang mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing sejak semalam.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost