Ribut Ranapkan Sekolah Di Beaufort

Keadaan bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Lupak, Beaufort yang rosak diterbangkan angin kencang.

BEAUFORT : Sebuah sekolah rendah di sini, mengalami kerosakan teruk selepas bumbung bangunannya diterbangkan ribut.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, peralatan komputer dan buku teks di Sekolah Kebangsaan (SK) Lupak, di sini, turut mengalami kerosakan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam yang meninjau sekolah itu hari ini, berkata, Jabatan Pendidikan Negeri sudah diarah menyalurkan peruntukan segera bagi melaksanakan kerja baik pulih.

“Kerosakan dialami agak serius membabitkan komputer dan buku teks yang basah terkena hujan dengan anggaran kerugian sebanyak RM100,000.

“Saya berharap Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah dapat mempercepatkan peruntukan kerja baik pulih sekolah ini berikutan ia membabitkan kelas pembelajaran.

Jadi kita berharap peruntukan segera dapat disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort dan saya juga akan bincang apa yang perlu untuk dibantu,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu turut membabitkan bangunan menempatkan beberapa bilik darjah dan kemudahan komputer sekolah.

Bagaimanapun, tiada laporan kemalangan atau kecederaan akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata kejadian angin kencang yang menerbangkan bumbung bangunan itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh dua minggu di kawasan berkenaan.

“Dua minggu lalu di kawasan Kampung Lupak turut dilanda ribut menyebabkan surau, bangunan pra sekolah dan rumah penduduk kampung mengalami kerosakan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *