Warisan Makin Lemah, PRN Awal Beri Kelebihan Pada GRS, Kata Penganalisis

Warisan yang diterajui Shafie Apdal dilihat sukar menumbangkan pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah sekiranya pilihan raya negeri itu diawalkan, kata penganalisis.

KOTA KINABALU : Pilihan raya negeri lebih awal di Sabah kemungkinan besar akan memberi kelebihan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan Warisan berada pada tahap terlemah dalam sejarah parti tersebut, kata seorang penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Warisan, salah satu pesaing utama GRS, dijangka masih dapat mempertahankan kubu kuatnya di pantai timur Sabah tetapi akan kalah di tempat lain.

“GRS dijangka akan memanfaatkan sepenuhnya kelemahan Warisan, meskipun kedua-duanya berada dalam kerajaan persekutuan yang sama.

“Masih belum dapat dipastikan sama ada GRS atau Umno Sabah akan mendominasi sisa kerusi Melayu bumiputera, tetapi kebanyakan kerusi bukan bumiputera dan beberapa kerusi bukan Melayu bumiputera kemungkinan besar akan didominasi oleh Pakatan Harapan (PH) sekali lagi,” katanya kepada FMT.

Ditubuhkan pada 2016, Warisan, yang dipimpin Shafie Apdal, dulunya merupakan sekutu rapat PH. Bagaimanapun, parti itu memutuskan untuk bersendirian semasa PRU15 November tahun lalu, malah menurunkan calon di semenanjung.

PRU15 menyaksikan Warisan mencatatkan prestasi pilihan raya terburuk apabila hanya memenangi tiga kerusi parlimen dan tiada kerusi DUN, daripada 52 kerusi yang ditandingi.

Usaha bersama dengan Umno Sabah Umno menumbangkan Pengerusi GRS, Hajiji Noor, sebagai ketua menteri juga gagal pada Januari lalu, sementara Warisan kehilangan beberapa Adun di Sabah yang berpaling tadah.

Ketika ini, Warisan hanya mempunyai 14 Adun di Sabah, berbanding 23 yang menang semasa PRN 2020, dan duduk sebagai pembangkang di DUN negeri itu bersama-sama Adun Umno Sabah.

Baru-baru ini Hajiji memberikan bayangan mengenai kemungkinan PRN Sabah diadakan lebih awal walaupun penggal kerajaan negeri masih mempunyai kira-kira dua tahun lagi.

Hajiji berkata terdapat keperluan untuk parti beliau, Parti Gagasan Rakyat Sabah bersedia untuk pilihan raya awal, yang mungkin diadakan tahun depan.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata beberapa parti berdepan isu dalaman yang perlu mereka selesaikan bagi berdepan pilihan raya negeri yang mungkin diawalkan.

Beliau menambah beberapa parti yang masih dipimpin oleh pemimpin yang sudah tua sudah kehilangan tarikan dalam kalangan pengundi.

“Terdapat keperluan mendesak untuk ahli politik ini memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mengambil peranan kepemimpinan dan membawa perspektif baru. Selain itu, beberapa parti masih mencari arah baru,” kata Lee.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *