Pembuat Roti Canai Disamun, Dirogol Sebelum Dibunuh

Mayat bersama barangan milik mangsa yang ditemukan di lokasi kejadian.

LAHAD DATU : Seorang wanita yang bekerja sebagai pembuat roti canai bukan sahaja disamun dan dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di dalam kawasan semak sebuah kebun pisang di Kampung Pisang, di sini, hari ini.

Mayat wanita warga asing berusia 36 tahun itu ditemukan dalam keadaan separuh bogel oleh ahli keluarganya, pada 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada 8.26 pagi.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat wanita berusia 36 tahun itu ditemukan oleh ahli keluarganya kira-kira 600 meter dari rumahnya.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan kelar di leher, selain luka di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa turut dirogol berdasarkan kesan air mani yang ditemukan pada bahagian kemaluannya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, polis mendapati telefon bimbit dan wang tunai di dalam dompet mangsa juga didapati hilang dalam kejadian itu.

“Menurut saksi, mangsa yang juga ibu kepada lima anak keluar rumah pada 6.15 pagi untuk pergi bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah restoran.

“Bagaimanapun, pemilik restoran tempat wanita itu bekerja mendapati dia tidak datang berkerja sebelum menghubungi keluarganya. Sangsi dengan makluman itu, ahli keluarga mangsa berusaha mencarinya, sebelum menemukan mayatnya di kawasan semak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut.

Dr Rohan berkata, polis sedang berusaha mengesan suspek dalam kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu Asisten Superintendan Khairuddin Husain di talian 013-9071709. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *