Bawang Import Dari China Lebih Murah, Mula Dijual Di Pasar Raya

KAJANG: Bawang merah import dari India tiada lagi di pasaran sebaliknya digantikan dengan bawang merah dari China dengan harga yang lebih murah.

Tinjauan di sebuah pasar raya dan beberapa kedai runcit mendapati harga bawang di pasar raya adalah sebanyak RM2.29 sekilogram, manakala bawang merah di kedai runcit berada pada sekitar RM5 sehingga RM6.

Menurut seorang pekerja pasar raya yang tidak mahu dikenali, sejak beberapa minggu lalu, pasar raya tidak lagi menjual bawang import dari India kerana bawang yang diimport dari China adalah lebih murah.

“Sekiranya bawang India yang dijual kami tidak dapat menawarkan harga RM2.29. Tambahan pula sekarang ini adalah musim perayaan, jadi inilah harga yang terbaik kami mampu berikan.

“Ada juga yang bertanyakan mengenai bawang import dari India. Pelanggan ramai yang suka disebabkan rasanya yang manis, kami cadangkan kepada mereka untuk membeli bawang import China,” katanya.

Sementara itu, tinjauan terhadap bekalan gula pasir mendapati bekalan sudah habis dijual pada awal pagi tetapi gula putih jernih (premium) masih lagi banyak.

Menurut Peniaga air dalam balang, Shamsul Muhd, 29, perniagaannya terkesan kerana terpaksa membeli gula premium yang lebih mahal.

“Setiap hari kami menggunakan gula yang banyak untuk membuat air. Apabila terjadi situasi kekurangan gula ini, saya sebagai peniaga akan terkesan. Kadang kala saya sempat mendapatkan bekalan gula tetapi ia cuma terhad kepada tiga paket seorang.

“Saya harap isu ini boleh diselesaikan dengan cepat. Saya tidak mampu untuk menggunakan gula premium setiap hari. Jika saya naikkan harga apa pula kata pelanggan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan harga gula mentah yang tinggi dalam pasaran antarabangsa, antara punca gangguan bekalan gula di Sabah serta beberapa kawasan di negara ini, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Bagi menangani isu itu, Armizan dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan permit import (AP) kepada 43 syarikat bagi membawa masuk 557,080 tan metrik gula supaya bekalan untuk rakyat sentiasa stabil, namun hanya 22,547 tan metrik atau 4.05 peratus dapat dibawa masuk hingga Khamis lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *