Bung Moktar, Zizie Izette Lepas Bebas Kes Rasuah RM2.8 Juta

Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan semakan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang mengarahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah sebanyak RM2.8 juta.

Susulan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada tuduhan berkenaan.

Ketika membaca keputusan permohonan berkenaan, Azhar berkata, tiada bukti menunjukkan dua saksi utama pendakwaan, memberikan rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu melalui Zizie Izette.

Dua saksi itu ialah perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 46, dan Madhi Abdul Hamid, 44, masing-masing selaku saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25.

“Sehubungan itu, wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

“Oleh itu, keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-dua pemohon untuk membela diri (pada 2 September tahun lalu) adalah salah laksana keadilan.

“Saya dengan ini, mengguna pakai Seskyen 325 Kanun Prosedur Jenayah bagi melepas dan membebaskan kedua-dua pemohon,” kata hakim.

Mendengar keputusan itu, Bung Moktar, 66, dan Zizie Izette, 46, yang berada dalam kandang tertuduh, berpelukan dan menangis. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *