MOTAC Ambil Serius Aduan Pelancong Berkaitan Isu Kebersihan Di Semporna

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing.

SEMPORNA, 17 Ogos : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil serius setiap aduan pelancong mengenai tahap kebersihan di daerah ini yang boleh menjejaskan imej pelancongan negara.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata teguran telah dibuat agar tindakan menangani isu berkenaan dilakukan segera, namun keadaan tersebut masih berulang sehingga kini.

Beliau berkata antara isu yang menjadi kegusaran pelancong ke Semporna ialah dakwaan mengenai persekitaran yang sangat kotor dengan terdapat sampah sarap mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa isu dibangkitkan seperti keracunan makanan, perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan juga tidak setara pada harganya (tuala, sarung bantal, cadar kotor), gangguan serangga dan lain-lain.

“Jika isu tersebut tidak dapat diselesaikan, saya akan mengarahkan MOTAC untuk mengeluarkan notis merah, hal ini merupakan langkah terakhir yang tidak dapat dielakkan sekiranya perkara ini gagal diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiong berkata pihaknya menerima aduan berkaitan keracunan makanan baru-baru ini sehingga pesakit mengalami cirit-birit serta terpaksa dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan terapi intravena (IV) dan perkara ini boleh mengancam kesihatan orang awam termasuk pelancong.

Beliau berkata isu berkenaan turut dipanjangkan kepada Pejabat MOTAC di Sabah serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) untuk tindakan sewajarnya dilakukan segera.

“Saya memohon agar MOTAC Sabah, KePKAS serta pihak berkenaan terlibat untuk mengemukakan cadangan dan pelan tindakan bagi menyelesaikan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada kepada saya dengan kadar segera dalam memberikan keselesaan kepada para pelancong,” katanya lagi.

Katanya pihaknya tidak mahu pelancong melalui pengalaman dan situasi sukar ketika melancong ke Semporna dan KePKAS juga perlu memberi perhatian selain meneliti semua kawasan pelancongan sama ada bandar dan tepi pantai serta bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk pembersihan dan penambahbaikan.

“Semua pihak termasuk pengusaha resort, restoran, hotel, rumah inap dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera dengan menaik taraf dan menambah baik segala aspek yang berkait rapat dengan pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Tiong berkata isu berkenaan turut dibangkitkan dalam dalam mesyuarat pasca-Kabinet dan satu pasukan yang diketuai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan akan melawat Sabah pada masa terdekat untuk pemeriksaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *