Dr. Sirhajwan Idek Terima Anugerah Ikon Adiguru Dari Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU : Dr. Sirhajwan Idek, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, telah menerima anugerah khas ikon Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) iaitu anugerah ikon adiguru dari Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, pada 17 Ogos 2023 semasa Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (MAPENS) 2023.

Majlis anjuran JPNS tersebut yang berlangsung di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, telah dihadiri oleh pengarah JPNS, pegawai-pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar serta guru-guru dari sekolah-sekolah di negeri ini.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada guru-guru atas pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.

Dr. Sirhajwan telah menerima pelbagai pengikitirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa atas sumbangannya dalam bidang pendidikan.

Dia merupakan ikon guru kebangsaan pada tahun 2017 dan ikon belia negara karismatik pada tahun 2022.

Dia telah memenangi pelbagai anugerah global termasuklah pemenang Simon Greenall Award 2021, YSEALI Seed for the Future 2020, ISTE Literacy Innovation Award 2019, SEAMEO-Australia Education Link Award 2018, International Innovation & Entrepreneurship Excellence in Teaching Award 2017 dan Macmillan Teacher at My Heart 2016.

Sejak tahun 2016, dia telah membimbing seramai 700 pelajar dan hampir 100 guru di sekolahnya untuk membentang projek mereka di persidangan kajian dan pertandingan inovasi secara dalam talian dan bersemuka di dalam dan luar negara.

Para pelajarnya telah berjaya memenangi pelbagai pingat, hadiah dan geran termasuklah geran berjumlah RM 20,000.00, RM 10,000.00 dan RM 8,000.00 daripada pertandingan Pitchborneo, Shell LiveWIRE dan Pitchbah.

Dua orang pelajarnya, Alesyah Asa dan Nurul Nazieha Jasnie, berjaya melayakkan diri sebagai 10 dan 50 finalis terbaik bagi anugerah Global Student Prize iaitu anugerah paling berprestij untuk pelajar di dunia pada tahun 2022 dan 2023. Dr. Sirhajwan turut membimbing pelajar menghasilkan karya seni dalam bidang persembahan, penulisan dan visual dengan berkonsepkan cerita rakyat dan isu semasa.

Usaha ini telah membolehkan hampir 300 pelajarnya berjaya memenangi hadiah di festival seni dalam talian dan pertandingan bakat serta menerbitkan karya mereka di majalah sastera.

Pada tahun 2022, dia telah melaksanakan program pengantarabangsaan yang terdiri daripada kelas induk dan kelas pertukaran dalam talian yang melibatkan golongan pendidik dan pelajar dari luar negara.

Program ini telah memberi impak bukan sahaja kepada pelajar dan guru disekolahnya namun di sekolah-sekolah lain di Malaysia.

Dia juga telah berkolaborasi dengan unit pendidikan khas di sekolahnya untuk membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas menyertai pertandingan inovasi dan seni melalui penggunaan bahasa isyarat dan visual.

Beberapa pelajar ini telah merangkul anugerah atas penglibatan mereka termasuklah World Changer Award dan SENIA Student Award dari persatuan pendidikan khas dunia, SENIA.

Pada tahun 2023, dia telah mengetuai pasukan sekolahnya untuk melancarkan kempen kesihatan mental dan seorang pelajarnya yang merupakan pembimbing rakan sebaya, Afiqa Amani, telah dijemput ke simposium belia secara bersemuka di Manila sebagai pembicara jemputan bagi projek ini.

Dia juga merupakan presiden persatuan guru HIVE dan bekas ketua persatuan guru OPEN Malaysia Alumni dimana kedua-kedua persatuan ini telah melaksanakan pelbagai program perkembangan profesional berterusan untuk golongan pendidik di negara ini sejak tahun 2020.


Atas pencapaian ini, Dr. Sirhajwan Idek turut diiktiraf sebagai penerima rekod pencapaian belia yang dikenali sebagai Youth Achievement Record di peringkat Asia Tenggara pada tahun 2023. Sumbangan dan pencapaian dia boleh diakses melalui pautan berikut:

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

https://youthachievementrecords.com/2023/08/14/mohd-sirhajwan-bin-idek-is-the-first-asian-to-win-the-international-innovation-and-entrepreneurship-excellence-in-teaching-award/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *