MUAR: Dihukum penjara 702 tahun dan 234 sebatan.
Walaupun tempoh hukuman penjara itu boleh dianggap keterlaluan dan melebihi tujuh kali ganda umur kebanyakan penduduk di negara ini, ia adalah keputusan Mahkamah Sesyen di sini ke atas seorang pesalah kes rogol dua anak sendiri.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan tertuduh secara berulang kali sejak tahun 2017 hingga menyebabkan salah seorang mangsa hamil 5 minggu.
Kedua-dua mangsa masing-masing ketika ini baharu berusia 12 dan 15 tahun.
Tertuduh, 53, berhadapan 30 pertuduhan dengan 19 daripadanya membabitkan kejadian rogol manakala 11 lagi kes cabul kehormatan.
Hampir sejam masa diambil jurubahasa untuk membaca kesemua pertuduhan serta fakta kes itu.
Mengikut fakta kes itu lagi, kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, di sini.
Selain itu, mahkamah turut diberitahu pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar membuat laporan polis selepas mendapati salah seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan dipetik sebagai berkata dia menerima hukuman itu atas perbuatan dilakukannya.
Hakim Abu Bakar Manat dalam prosiding berkata, tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya sudah hamil.
“Mangsa ketika itu adalah kanak-kanak dengan kesalahan dilakukan kamu sangat berat. Justeru, saya berharap dengan hukuman ini, kamu bertaubat dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun namun hukuman sebatan kekal 234 kali.
Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost