Telefon Bimbit Ebit Ada Sejarah Layari Laman Web Lucah – Saksi

Ebit Lew sedang bedepan pertuduhan melakukan gangguan seksual.

TENOM: Analisis forensik ke atas telefon bimbit  milik Ebit Lew yang berdepan pertuduhan  melakukan  gangguan seksual mendapati peranti dimiliki pendakwah itu mempunyai sejarah melayari beberapa laman web lucah.

Juruanalisis Kanan Siasatan Audio/Video PDRM, Asisten Superintenden Latifah Abdul Aziz berkata demikian semasa memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah pencarian dalam aplikasi google web yang diperoleh daripada telefon tersebut terdapat sejarah peranti itu digunakan untuk melayari laman web lucah.

“Merujuk kepada gambar 110 pada paparan ditunjukkan, pengguna telefon bimbit bertanda N1 ada melayari laman web bertajuk ‘Japanese porn’ dan dapat dilihat pengguna telefon bimbit ada membuat beberapa carian contoh ‘search for Japan porn’.

LUCAH

“Daripada kesemua screenshot (tangkap layar) yang saya buat, ada beberapa lagi laman web berunsur lucah dan ada juga laman web bukan berunsur lucah dilayari menggunaka telefon bimbit itu,” katanya.

Kata saksi ketujuh itu, bagi memastikan laman web itu adalah laman web lucah beliau  membuka beberapa laman web dengan merujuk kepada hasil analisis yang dijalankan dan beliau dapati ia memang laman web berunsur lucah.

Malah kata Latifah antara laman web yang turut dilayari  adalah laman web ‘gurau lucah berisiko disumbat penjara’; Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual, hukuman gangguan seksual serta undang-undang gangguan seksual di Malaysia.

Saksi itu  berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang meminta saksi menjelaskan kandungan DVD-R iaitu  salah satu bahan bukti bagi kes terbabit.

Ebit Lew tidak hadir pada perbicaraan hari ini kerana  sedang menunaikan ibadah haji di Mekah.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, berhadapan 11 pertuduhan melakukan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp.

Pertuduhan itu didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Bagi kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zahida Zakaria manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.  – UTUSAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *